Ini adalah beberapa tip-tip yang saya rasa agak penting bila kita berada di dunia siber.

1) Sembunyikan identiti anda - seboleh-bolehnya jangan dedahkan identiti anda yang sebenar apabila berada di dunia siber kecuali kepada orang yang anda benar-benar percayai. Dalam kebanyakan aktiviti seperti e-mail, irc, instant-messaging dan sebagainya kita kerap berhubungan dengan orang yang tidak kita kenali. Oleh itu berhati-hati apabila memberi maklumat berkaitan peribadi kita untuk mengelakkan maklumat tersebut disalah-gunakan oleh orang yang tidak bertanggung-jawab.

2) Kawal aktiviti anda - Kerap kali apabila kita menerima e-mail daripada kawan, kita akan terus 'forward' e-mail tersebut kepada kawan-kawan yang lain tanpa memeriksa dengan teliti kandungan dan dari mana e-mail tersebut berasal. Ini penting sekiranya e-mail tersebut mengandungi bahan atau isu-isu sensitif. Jangan ingat apabila anda berada di alam siber, identiti anda tidak akan di ketahui. Sebagai pengetahuan, setiap komputer di Internet akan diberi alamat khusus untuk membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain. Alamat ini dinamakan IP Address dan dalam bentuk seperti 202.34.123.87 (Sila rujuk Apakah IP Address untuk maklumat lanjut). Sama ada anda menggunakan komputer di rumah melalui dial-up modem atau broadband, di dalam kampus atau di pejabat anda akan mendapat IP Address ini. Identiti anda boleh dikesan menggunakan IP address ini. Oleh itu berhati-hati apabila anda menghantar e-mail. Kebanyakan email-client dan juga web-based email seperti Yahoo Mail mempunyai fungsi untuk melihat 'header' keseluruhan e-mail. Header ini mengandungi maklumat lengkap e-mail seperti penghantar asal, komputer yang telah dilalui sebelum sampai ke mail-box anda dan senarai kesemua yang telah menerima e-mail ini. Maklumat ini juga boleh digunakan untuk mengesan anda.

3) Virus - Virus adalah gangguan utama kepada semua pengguna komputer. Oleh kerana kebanyakan pengguna komputer adalah dari platform windows, hampir 99% daripada virus yang ditulis disasarkan kepada platform ini. Oleh itu, sekiranya anda menggunakan platform windows, sila bersedia dengan langkah-langkah pencegahan seperti dengan memasang perisian anti-virus pada komputer anda. Namun begitu, berdasarkan pengalaman saya, amalan kita adalah lebih berkesan dalam menangani virus berbanding dengan memasang bermacam-macam perisian yang mahal-mahal untuk menyekat virus. Saya sendiri tidak menggunakan sebarang perisian anti-virus (walaupun saya tidak menggalakkan) dalam komputer saya. Kebanyakan virus sekarang adalah dalam bentuk 'worm' yang merebak melalui attachment e-mail. Oleh itu jangan sekali-sekali membuka attachment yang anda terima jika ia mempunyai nama yang agak pelik (terutama sekali nama di bahagian akhir seperti .doc, .exe yang dikenali sebagai 'extension'). Extension seperti *.exe, *.vbs, *.com dan *.scr haruslah dielakkan sepenuhnya. Walaupun e-mail tersebut datang dari seseorang yang anda kenali, jangan sekali-kali membuka attachment yang dihantar melainkan anda tahu apa yang anda lakukan, atau bersedialah untuk hari-hari yang akan merubah hidup anda.